Selesai HSC, saya kembali ke kampung, menjaga adik, menolong mak menoreh, pergi belajar menaip. Dalam pada itu, mencuba nasib mencari kerja. Mak suruh kerja di emporium yang baru di buka ketika itu, saya tidak mahu kerana kena berpakaian singkat. Cukuplah masa sekolah pakai skirt pendek. Saya lebih rela, duduk di rumah, walau hati tak mahu.
Sewaktu sedang mengambil exam HSC, kami berlima, saya, AA,AI,RMI dan NY pergi ke Balai Polis mengambil borang untuk Inspektor Polis. Pakcik Polis tu kata, buat apalah orang comel macam kamu ni nak jadi polis nanti habis hitam. Kami hanya ketawa. Sesungguhnya, tidak seorangpun di antara kami yang menjadi Pegawai Polis. (Saya kemudiannya bekerja juga di pejabat yang sama tapi bukan sebagai anggota atau pegawai). Kemudian kami, isi borang untuk pengambilan Pegawai Tentera pula. Dua kali saya isi borang, kali pertama senyap, kali kedua jawapannya tidak berjaya. Hanya AA yang berjaya menjadi Pegawai Tentera.
Kemudian saya mohon guru, AI jadi guru setelah result HSC. Saya tiga kali menghadiri temuduga semua tidak berjaya, walau guna sijil MCE dan HSC. Menghadiri temuduga untuk ke ITM bersama NY dan seorang sepupu. NY berjaya melanjutkan pelajaran sepupu ku kemudiannya berjaya ke Maktab. Saya masih mencari-cari. Kata mak minta saja apa kerjapun. Saya ingin belajar lagi, ambil semula HSC, tapi mak kata bagi peluang kat adik-adik, tahun depan bolehlah ambik semula. Dalam pada itu, saya mohon semua pekerjaan dari peringkat bawah hingga setinggi kelayakan.
Pernah sekali, saya dapat tawaran temuduga di Kuantan, tapi saya dapat surat petang sehari sebelum temuduga. Surat tersebut lambat saya terima sebab tersadai di Kedai. Posmen tak hantar surat ke rumah dan tiada orang pergi tengok surat ketika itu. . (Banyak surat saya berserta gambar hilang ketika itu) Jika surat tu sampai awal, saya masih ada peluang sebab bapa masih ada masa cari duit pergi ke sana. Ni dah petang dan pagi esoknya temuduga. Sedih juga, tak ada rezeki. Pernah sebelum tu, saya tidak hadir temuduga juga di Kuantan kerana terlalu yakin akan dapat tawaran ke ITM. Malangnya saya tidak berjaya. Setelah itu, saya nekad, apa kerjapun, apa temudugapun saya kena pergi juga. Setelah beberapa kali di temuduga akhirnya saya berjaya juga walau kerjanya tidak seperti yang saya harapkan.
Memulakan kerjaya di Kuantan di awal 80an, dengan hati yang berbelah bagi. Tidak suka dengan kerja yang saya terima ketika itu, tapi mengenangkan susahnya nak cari kerja, dan susahnya keluarga (tak membantupun) saya pasrah. Keputusan HSC kali kedua, mengecewakan. Teringin mengambil lagi exam tu, tapi keadaan tidak mengizinkan. Akhirnya, saya terus bekerja dan terus memohon kerja lain.. Melalui jabatan, selalu surat permohonan tidak dilayan. Semuanya harus ada penganti dan pernah di bakul sampahkan. Sedih bersarang di hati. Secara perlahan saya menutup dunia saya kepada semua kawan-kawan lama walau hati masih sentiasa mengingati mereka. Saya pernah memohon untuk belajar di ITM secara "out campus" dan berjaya tapi suami saya tidak begitu mengalakkan. Wang sering dijadikan sebab mengapa dia tidak mengalakkan saya. Bapak tentunya kecewa kerana dia yang menyokong borang permohonan tersebut. (Masih saya simpan surat tawaran itu sehingga sekarang- Bukti saya pernah diberi peluang belajar)
Kemudian, saya berpeluang mengambil peperiksaan jabatan dan berjaya. Kemudiannya saya berjaya melangkah ke jawatan lain. Alhamdulillah syukur. Namun ketika itu saya di uji, bapa meninggal, tiga minggu selepas saya menjawat jawatan baru. Di tempat baru, saya nekad untuk belajar lagi untuk meningkat tapi kita hanya merancang, tuhan yang menentukan. Saya tidak dapat memenuhi impian sendiri. Banyak sungguh dugaan dan cabaran. Saya pasrah dan mula membuka pintu hati yang tertutup buat rakan-rakan lama untuk bertemu kembali.
Kini, peluang masih terbuka untuk saya belajar untuk melanjutkan pelajaran atau mengambil periksaan untuk meningkat tapi saya tidak lagi berminat untuk semua itu. Biarlah hanya anak-anak yang belajar meneruskan impian ayah bonda yang tidak tercapai. Saya telah letih untuk semua itu. Sudah letih untuk ke dewan peperiksaan, sudah letih untuk belajar dan telah letih untuk bekerja. Menanti hari untuk bersara dan berehat serta belajar untuk persediaan di akhirat pula. Insya Allah.