Ilyani, nama yang saya temui sewaktu berada di Tingkat 1, ketika menumpang di Sek. Men. Abu Bakar Temerloh tahun 1973. Seseorang telah memberi saya sebuah buku untuk di baca, di dalamnya terdapat nama-nama indah.(Banyak buku yang dipinjamkan kepada saya sebenarnya). Saya tertarik dengan nama ini ILYANI yang bererti kelembutan. Kelembutan hati, perasaan, perwatakan, pergerakan dan segala jenis kelembutan yang tidak dapat saya fikirkan. Dari saat itu, saya gunakan nama ini untuk dairi saya. Dairi pertama juga diberi oleh insan tersebut kepada saya sebagai galakkan supaya belajar dengan lebih rajin dan berjaya dalam pelajaran.
Saya tahu, maksud pemberian itu, namun, sesuatu yang di luar dugaan telah berlaku. Saya dan seorang teman sebilik telah dituduh melakukan perkara yang tidak pernah kami fikirkan. Tidak terkira malunya kami ketika itu, namun, rasanya ramai yang tak tahu dan tak pernah tahu. Peristiwa tersebut sedikit sebanyak telah menguris perasaan dan timbul sedikit dendam dan terkilan di hati. Mengapa kami berdua, sedangkan sering kali kami melihat orang lain melakukannya.
Telah bertahun-tahun nama ini digunakan. Insan yang memberi ilham kepada nama ini, kini tidak lagi berhubung. (Saya tahu dia berada di mana). Allah memberi peluang kepada saya untuk mengetahui tempat dia berada dengan menemukan saya dengan beberapa dokumen yang berkaitan dengannya. Menemukan saya juga dengan rakan, dan jiran sekampung. Saya sebenarnya amat berterima kasih kepada insan ini, kerana memberi saya peluang untuk mengerti erti kehidupan. Jangan mudah percaya kepada orang lain, walau sebaik manapun orang itu. Dalam pada itu juga mengajar saya lebih berhati-hati dengan setiap perbuatan. Walaupun kami (dgn rakan sebilek) tidak bersalah, tetapi pada ketika itu, kami berada di tempat yang salah di waktu yang salah. Kenangan yang paling pahit yang tidak pernah saya ungkap dan ceritakan kepada sesiapa sebelum ini. Paling lucu, ketika saya membelek dokumen yang saya jumpa tanpa sengaja itu, rupanya dia juga telah bernikah pada tarikh saya bernikah. Terima kasih banyak banyak untuk Cikgu MSTS. Untuk teman sebilik itu, kami tidak lagi berbaik setelah di Tingkat 2, apabila kami berpindah ke sekolah sebenar di Kuantan. Tiada dendam di antara kami, cuma tiada keserasian untuk bersama sebagai rakan atau sahabat baik. Di mana dia sekarang ? Rasanya telah berjaya dan berjawatan tinggi juga. Terlihat kelibatnya di Majlis Reunion BIG 50.(saya tidak hadir majlis ini) Tahniah untuk mu, NKMD. Semoga kamu terus berjaya dan bahagia dunia akhirat kawanku.
No comments:
Post a Comment