Melihat anak-anak semakin membesar, dan berbagai kerenah, mengingatkan saya pada zaman remaja saya. Zaman yang penuh dengan kisah suka, duka dan penuh dengan berbagai dugaan.Mengharungi remaja saya tidak dapat lari dengan kehidupan di sekolah-sekolah tempat saya menimba ilmu.
Bermula ketika melangkah ke sekolah menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Sekolah baru yang ditubuhkan untuk memertabatkan anak bangsa agar menjadi insan yang cemerlang untuk negara yang masih baru merdeka ketika itu. ( 16 tahun usia kemerdekaaan ). Memulakan langkah, ditinggal berseorangan tanpa ibu bapa dan keluarga yang lain di satu daerah yang begitu asing pada saya ketika itu. Mencari rakan-rakan sekolah rendah yang sama memulakan langkah, saya menghuni, asrama baru siap dengan tiada kelengkapan.
Hari pertama di rantau, tidur beralaskan tilam yang masih baru, tanpa katil, tanpa alas. (Cadar masih dalam bag). Bertemu dengan kawan-kawan baru, berjumpa dengan berbagai gaya manusia. Sedikit terkejut dengan perubahan budaya hidup. Pertama kali di beri almari baju sendiri. Pertama kali, makan nasi kawah, pertama kali mandi di bilik yang yang banyak tapi tanpa lampu dan tanpa air (sering keputusan bekalan). Pertama kali juga, makan nasi mentah, makan sayur betik, makan sayur yang berulat. Pertama kali juga makan dalam tray plastik, cawan plastik. Namun demikian, bukan pertama kali membasuh pakaian sendiri, kerana di rumah sering membasuh dan menjemur pakaian, adik-adik dan keluarga. Pertama kali juga, di jadikan adik angkat oleh seorang senior.
Pertama kali juga, pandai menonton wayang dengan kawan (takut sebenarnya) tapi rupanya dalam panggung penuh dengan penghuni asrama.
Paling tidak dapat di lupa makan setengah buku roti paun dengan telur separuh masak semuanya gara-gara dapur asrama kehabisan gas memasak. Alhamdulillah ketika itu, saya membawa serunding ikan dari rumah. Saya mempelawa rakan sebilik makan bersama tapi mereka tak mahu kerana tak biasa. Pastinya roti itu tidak sedap ( tak habispun) tapi kerana lapar, saya telan juga dengan air sejuk. (Mungkin air paip). Setahun di sekolah ini, saya berhijrah ke sekolah baru (sekolah sebenar kami kerana sebelumnya kami hanya menumpang di daerah ini kerana sekolah kami masih dalam pembinaan).
Sebagai seorang budak kampung, (tidak sepenuhnya kampung kerana saya pernah duduk di bandar tapi cara hidup masih cara orang kampung) banyak yang tidak dapat saya terima dengan gaya hidup sesetengah kawan-kawan saya ini. Saya telah terbiasa, bangun pukul 5 pagi, mandi di sungai, parit atau air tadahan hujan tapi bila duduk di asrama dan sering keputusan air, saya jadi seorang yang serba tak kena. Bergelap tu biasa kerana di kampungpun masih berpelita ayan atau bergaslin saja. Rimas kerana tengah mandi air tak ada, rambut yang panjang berbuah akhirnya, hapak, baju putih sekolah bertahi lalat. Balik cuti sekolah sering di marahi emak kerana hal itu. Saya lihat, ada kawan-kawan yang seolah-olah tidak mengalami apa-apa perubahan dalam hidup mereka.(Mungkin saya yang tak peka- mereka mungkin sama dengan saya mengalami kepayahan hidup di asrama). Bersambung