Total Pageviews

Sunday, 20 March 2011

Sambungan Zaman Kanak-Kanak

KAMPUNG SEGA / RAUB :

Cuti sekolah penggal pertama tahun 1969, kami berpindah ke kampung bapa, menumpang di rumah mak kepada bapa. Di sini, sekali lagi mandi, air sungai, air perigi. Malam bercahayakan pelita. Tak lama di rumah itu, apabila mak kembali ke rumah ibu bapanya. Lama kami di sini, mak lebih selesa di rumah ini, rumah ibu bapanya. Rumah tempat saya di lahirkan.

             Saya tidak duduk bersama mak ketika di tahun pertama kami di Raub. Saya menumpang di rumah abang mak, seorang guru dan juga waden asrama. Sebulan sekali akan balik ke kampung bertemu mak, wan dan aki serta adik-adik yang lain. Di sini, kehidupan amat berdisiplin. Kami di beri jadual waktu. Makan, minum,tidor, belajar semuanya mengikut peraturan.  Di rumah ini, saya mula menonton TV. Kami tidor,  dua orang sekatil. Anak bapa saudara  saya ini, ada tiga orang, dan seorang anak angkat yang juga sepupu saya. Sebenarnya rumah bapa saudara saya ini menjadi rumah tumpangan pada ramai anak-anak buahnya dari kampung termasuk saya dua beradik.

             Pagi kami akan pergi mengaji, petang ke sekolah, malam membuat kerja sekolah. Itu rutin harian kami.  Ada kalanya, ketika bapa dan mak saudara saya ke bandar, kami akan bermain dalam sungai depan rumah (sungai memisahkan asrama/sekolah dengan rumah guru). Saya ingat lagi, kami sebenarnya tidak dibenarkan bermain di sungai tersebut. Bila ada kesempatan kami curi-curi juga bermain di situ. Bila terdengar bunyi kereta (masa tu tak ramai yang berkereta) dan kami biasanya tahu itu kereta pak teh. Lintang pukanglah kami balik.  Berkelahi sesama sendiri, pastinya, berebut bilik air, berebut makan, berebut bantal, dan macam-macam lagi. Seronoknya, ketika hendak tidor kami akan meniru gaya cerita dalam TV ketika itu. "Little House On The Piarie", " Eight Is Enough" dan satu cerit favourite yang mengisahkan satu keluarga yang terdiri dari John Boy dan adik beradiknya. Saya tak lagi ingat tajuk cerita tersebut. 

            Kami tidak lagi menginap di rumah bapa saudara saya pada tahun berikutnya. Saya tak pasti mengapa. Kembali menetap bersama keluarga di kampung, ke sekolah seawal 10 pagi kerana bas sekolah mengambil masa 1 jam perjalanan ke bandar Raub. Itu ketika bersekolah petang. Ketika bersekolah pagi, jam 5.45 telah turun rumah, merentas, sawah, mendaki bukit, menyusuri kebun getah sebelum sampai ke jalan besar. Malam mengaji di sebuah rumah dalam kebun getah itu. Berjalan kaki, berbekal lampu suloh atau cahaya bulan jika bulan mengambang.

            Di kampung, mula belajar menjadi anak kampung, mandi, sungai, perigi. Mengangkut air ke rumah. menolong mak, menjaga adik, menanam sayur, menanam padi, menghalau burung. (Lupa untuk menceritakan ketika di PD, saya suka berbasikal dan pernah bapa mengikat basikal tersebut dengan rantai kerana saya asyik bermain. Pernah adik yang sama bawa bersama terjatuh dan saya di pukul oleh mak dan di marahi bapa kerana basikalnya rosak). Di kampung, saya tak berkesempatan lagi berbasikal. Masa saya banyak di habiskan di sekolah, di perjalanan.  Di sini, melihat kawan- kawan bermain perang-perang, bermain konda kondi, bermain galah panjang dan macam-macam jenis permainan lagi. Mak tidak membenarkan saya menyertai kawan-kawan bermain. Bimbang jika saya di serang lelah dan untuk ke Hospital sejauh 16 batu terpaksa dilakukan dengan bantuan orang kampung yang berkereta. Tidak ramai yang berkereta ketika itu.  Saya sering tak ke sekolah bila penyakit ini menyerang. (akan saya cerita mengenai penyakit saya kemudian).
Saya sebenarnya, degil, selalu saya curi-curi bermain. Sampai di sini dahulu, hingga ke suatu masa saya akan sambung lagi dengan kisah lain pula.









No comments:

Post a Comment