Perjalanan hidup selama setengah abad seorang pekerja, anak, isteri, ibu, nenek yang di terjemahkan kepada MY ILYANI
Total Pageviews
Saturday, 26 March 2011
Sunday, 20 March 2011
Sambungan Zaman Kanak-Kanak
KAMPUNG SEGA / RAUB :
Cuti sekolah penggal pertama tahun 1969, kami berpindah ke kampung bapa, menumpang di rumah mak kepada bapa. Di sini, sekali lagi mandi, air sungai, air perigi. Malam bercahayakan pelita. Tak lama di rumah itu, apabila mak kembali ke rumah ibu bapanya. Lama kami di sini, mak lebih selesa di rumah ini, rumah ibu bapanya. Rumah tempat saya di lahirkan.
Saya tidak duduk bersama mak ketika di tahun pertama kami di Raub. Saya menumpang di rumah abang mak, seorang guru dan juga waden asrama. Sebulan sekali akan balik ke kampung bertemu mak, wan dan aki serta adik-adik yang lain. Di sini, kehidupan amat berdisiplin. Kami di beri jadual waktu. Makan, minum,tidor, belajar semuanya mengikut peraturan. Di rumah ini, saya mula menonton TV. Kami tidor, dua orang sekatil. Anak bapa saudara saya ini, ada tiga orang, dan seorang anak angkat yang juga sepupu saya. Sebenarnya rumah bapa saudara saya ini menjadi rumah tumpangan pada ramai anak-anak buahnya dari kampung termasuk saya dua beradik.
Pagi kami akan pergi mengaji, petang ke sekolah, malam membuat kerja sekolah. Itu rutin harian kami. Ada kalanya, ketika bapa dan mak saudara saya ke bandar, kami akan bermain dalam sungai depan rumah (sungai memisahkan asrama/sekolah dengan rumah guru). Saya ingat lagi, kami sebenarnya tidak dibenarkan bermain di sungai tersebut. Bila ada kesempatan kami curi-curi juga bermain di situ. Bila terdengar bunyi kereta (masa tu tak ramai yang berkereta) dan kami biasanya tahu itu kereta pak teh. Lintang pukanglah kami balik. Berkelahi sesama sendiri, pastinya, berebut bilik air, berebut makan, berebut bantal, dan macam-macam lagi. Seronoknya, ketika hendak tidor kami akan meniru gaya cerita dalam TV ketika itu. "Little House On The Piarie", " Eight Is Enough" dan satu cerit favourite yang mengisahkan satu keluarga yang terdiri dari John Boy dan adik beradiknya. Saya tak lagi ingat tajuk cerita tersebut.
Kami tidak lagi menginap di rumah bapa saudara saya pada tahun berikutnya. Saya tak pasti mengapa. Kembali menetap bersama keluarga di kampung, ke sekolah seawal 10 pagi kerana bas sekolah mengambil masa 1 jam perjalanan ke bandar Raub. Itu ketika bersekolah petang. Ketika bersekolah pagi, jam 5.45 telah turun rumah, merentas, sawah, mendaki bukit, menyusuri kebun getah sebelum sampai ke jalan besar. Malam mengaji di sebuah rumah dalam kebun getah itu. Berjalan kaki, berbekal lampu suloh atau cahaya bulan jika bulan mengambang.
Di kampung, mula belajar menjadi anak kampung, mandi, sungai, perigi. Mengangkut air ke rumah. menolong mak, menjaga adik, menanam sayur, menanam padi, menghalau burung. (Lupa untuk menceritakan ketika di PD, saya suka berbasikal dan pernah bapa mengikat basikal tersebut dengan rantai kerana saya asyik bermain. Pernah adik yang sama bawa bersama terjatuh dan saya di pukul oleh mak dan di marahi bapa kerana basikalnya rosak). Di kampung, saya tak berkesempatan lagi berbasikal. Masa saya banyak di habiskan di sekolah, di perjalanan. Di sini, melihat kawan- kawan bermain perang-perang, bermain konda kondi, bermain galah panjang dan macam-macam jenis permainan lagi. Mak tidak membenarkan saya menyertai kawan-kawan bermain. Bimbang jika saya di serang lelah dan untuk ke Hospital sejauh 16 batu terpaksa dilakukan dengan bantuan orang kampung yang berkereta. Tidak ramai yang berkereta ketika itu. Saya sering tak ke sekolah bila penyakit ini menyerang. (akan saya cerita mengenai penyakit saya kemudian).
Saya sebenarnya, degil, selalu saya curi-curi bermain. Sampai di sini dahulu, hingga ke suatu masa saya akan sambung lagi dengan kisah lain pula.
Sambungan Zaman Kanak-Kanak
PORT DICKSON :-
Usia, 5 tahun ketika saya mengikut, bapa berpindah ke PD. Perjalanan sepanjang jalan menaiki keretapi dan transit di Gemas, salah satu memori yang masih dalam ingatan. Sampai ke Sua Betong, di awal pagi. Rumah yang belantaikan tanah, itu merupakan rumah pertama kami di sini. Air api tiada, kami mandi perigi di bawah bukit selama beberapa hari. Tidak lama, bapa membawa kami pindah di Kampung belakang kem. (tidak lagi mengingati nama kampung tersebut) Di sini, bermulanya kehidupan ku, mula melangkah ke pra sekolah.Kemudian, bapa membawa kami berpindah lagi kerumah yang lebih selesa ketika itu, kembar dua. (akan saya cerita mengenai rumah-rumah yang pernah saya duduki kemudian)
Di PD, saya mendapat sepasang adik. Saya juga memulakan alam persekolahan di Sek.Ren. Port Dickson "Dahulu dikenali sebagai Goverment English Primary School". Dua tahun bersekolah di sana, pada tahun ketiga, tamat penggal pertama, kami berpindah lagi. Kali ini kami pindah kembali ke Kampung halaman bapa dan mak. Ketika itu, bapa terpaksa meghantar kami ke kampung kerana beliau di tugaskan ke Sabah. Atas faktor keselamatan kami terpaksa berpisah sementara. (akan saya ceritakan mengenai alam persekolahan dan kisah adik-adik saya kelak)
Saturday, 19 March 2011
Zaman Kanak-Kanak
Di lahirkan di sebuah kampung, di sebuah rumah di tepi bukit, di depannya terbentang luas sawah padi milek wan dan aki serta saudara mara yang lain. (Rumah ini telah dibuka dan di jual Sawah padi telah di tanam dengan Kelapa Sawit) ( akan saya cerita lagi di lain ketika). Saya kemudiannya dibesarkan di :-
PENGKALAN CHEPA :
Ingatan di sini agak terbatas. Apa yang saya ingat, bapa sering tiada di rumah. Mak masa itu menyusukan adik saya yang kedua. Di depan berek tempat kediaman kami, adalah sebuah perkampungan. Dari rumah jelas kelihatan jalan raya dan sebuah jambatan yang menyeberangi sungai. Pernah satu ketika, sebuah kereta kuda tergelincir di tengah-tengah jambatan itu. Saya masih ingat, di depan rumah ada pokok saga dan pernah seorang dari anak jiran di kejarkan ke Hospital kerana biji saga termasuk dalam hidungnya. Masa itu, biji saga adalah salah satu alat mainan kami. Saya sering di marahi mak kerana itu. Entah berapa ratus kali pesan mak agar tidak bermain di bawah pokok tersebut.
Satu lagi peristiwa berlaku di sini.( masih di Kelantan namun saya tak pasti di tempat sama atau di rumah lain). Mak dan rakan-rakannya berbual menanti berbuka puasa. Seorang jiran menghulur, sepiring ondeh-ondeh kepada saya tetapi diambil oleh adik saya. Entah bagaimana, saya terjatuh ke dalam longkang dan luka di kening. (Parutnya kekal hingga kini) Apa yang saya ingat, seorang pakcik telah mendukung saya dan membawa saya ke Hospital. Entah berapa jahitan , saya tak tahu dan ingat. Apa yang pasti, baju pakcik tu, lencung dibasahi darah. Sudahnya, saya kempunan ondeh-ondeh petang itu. Pak cik itu, lewat berbuka puasa tentunya. Bapa, esoknya baru balik. Terima Kasih kepada pakcik tersebut. (Al - fatihah) buat beliau sekiranya dia telah pergi mendahului kita.
Mengapa ILYANI?
Ilyani, nama yang saya temui sewaktu berada di Tingkat 1, ketika menumpang di Sek. Men. Abu Bakar Temerloh tahun 1973. Seseorang telah memberi saya sebuah buku untuk di baca, di dalamnya terdapat nama-nama indah.(Banyak buku yang dipinjamkan kepada saya sebenarnya). Saya tertarik dengan nama ini ILYANI yang bererti kelembutan. Kelembutan hati, perasaan, perwatakan, pergerakan dan segala jenis kelembutan yang tidak dapat saya fikirkan. Dari saat itu, saya gunakan nama ini untuk dairi saya. Dairi pertama juga diberi oleh insan tersebut kepada saya sebagai galakkan supaya belajar dengan lebih rajin dan berjaya dalam pelajaran.
Saya tahu, maksud pemberian itu, namun, sesuatu yang di luar dugaan telah berlaku. Saya dan seorang teman sebilik telah dituduh melakukan perkara yang tidak pernah kami fikirkan. Tidak terkira malunya kami ketika itu, namun, rasanya ramai yang tak tahu dan tak pernah tahu. Peristiwa tersebut sedikit sebanyak telah menguris perasaan dan timbul sedikit dendam dan terkilan di hati. Mengapa kami berdua, sedangkan sering kali kami melihat orang lain melakukannya.
Telah bertahun-tahun nama ini digunakan. Insan yang memberi ilham kepada nama ini, kini tidak lagi berhubung. (Saya tahu dia berada di mana). Allah memberi peluang kepada saya untuk mengetahui tempat dia berada dengan menemukan saya dengan beberapa dokumen yang berkaitan dengannya. Menemukan saya juga dengan rakan, dan jiran sekampung. Saya sebenarnya amat berterima kasih kepada insan ini, kerana memberi saya peluang untuk mengerti erti kehidupan. Jangan mudah percaya kepada orang lain, walau sebaik manapun orang itu. Dalam pada itu juga mengajar saya lebih berhati-hati dengan setiap perbuatan. Walaupun kami (dgn rakan sebilek) tidak bersalah, tetapi pada ketika itu, kami berada di tempat yang salah di waktu yang salah. Kenangan yang paling pahit yang tidak pernah saya ungkap dan ceritakan kepada sesiapa sebelum ini. Paling lucu, ketika saya membelek dokumen yang saya jumpa tanpa sengaja itu, rupanya dia juga telah bernikah pada tarikh saya bernikah. Terima kasih banyak banyak untuk Cikgu MSTS. Untuk teman sebilik itu, kami tidak lagi berbaik setelah di Tingkat 2, apabila kami berpindah ke sekolah sebenar di Kuantan. Tiada dendam di antara kami, cuma tiada keserasian untuk bersama sebagai rakan atau sahabat baik. Di mana dia sekarang ? Rasanya telah berjaya dan berjawatan tinggi juga. Terlihat kelibatnya di Majlis Reunion BIG 50.(saya tidak hadir majlis ini) Tahniah untuk mu, NKMD. Semoga kamu terus berjaya dan bahagia dunia akhirat kawanku.
Friday, 18 March 2011
Mukadimah
Yani,
Mengapa tiba-tiba terasa ingin menulis. Sebenarnya idea sentiasa ada tapi tiada masa untuk menulis.
Tak berapa retipun sebenarnya. Minat tu saja yang ada. Berkongsi PC dengan anak2 menyebabkan diri sentiasa mengalah, memberi mereka ruang dan peluang untuk menggunakannya dengan betul. Anak2 telah membesar, tidak banyak lagi kerenah serta rengetan mereka yang perlu di beri tumpuan 100%. Namun, mereka adalah ibarat layang-layang. Tidak boleh di lepaskan sesuka hati. Masih perlu di kawal dari masa ke semasa.Mereka masih perlukan kasih sayang saya. Anak2 ibarat sekeping kertas, bagaimana saya melakarnya begitulah hidup mereka (dengan izinnya jua). Seringkali saya terlepas pandang tentang ini, lupa anak2 tidak sama paras, rupa dan perangai mereka.
Berbalik kepada menulis, sekarang ni, masa terluang banyak, nak keluar jalan2, window shopping, makan angin tepi pantai tidak lagi dalam jadual mingguan. Banyak masa dihabiskan di rumah, mengadap TV.
Jemu juga mengadap TV, kadangkala melihat yang sama. Di hari minggu, (sabtu/ahad) seawal pagi selepas solat, sarapan, hantar anak ke klas tambahan, kemas rumah lebih kurang, basuh dan jemur kain, masih banyak masa terluang. Sejak anak- anak telah besar, kesihatan pula tidak begitu baik, tidak banyak yang dapat dibuat. Senaman, cuma dengan turun naik tangga, ke depan ke belakang rumah sepanjang 90 kaki. Kalau duduk di dapur, orang bagi salam kat depan rumah, tak siapa dengar hendak pulak kalau TV terpasang.
Sampai di sini dulu, kerana ada keperluan yang perlu di dahulukan.
Subscribe to:
Posts (Atom)